Tuesday 4 March 2014

Ibrah dari Ujian, Apa Tindakan Kita?

بسم الله الرحمن الرحيم

 اللّهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وأصحابه وزوجاته وذرّيّاتهpanji khilafah uthmaniyyah

 

3 Mac 1924. Tarikh yang menyimpan sejarah yang amat memilukan bagi umat Islam yang benar-benar mencintai agamanya. ALLAH telah menguji umat Islam dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyah yang telah bertapak sekian lama menaungi umat Islam seluruh dunia. Sejak kewafatan Rasulullah saw yang dikasihi, umat Islam telah melalui pelbagai fasa penguasaan seperti Khilafah Abbasiyyah dan juga Khilafah Umayyah setelah zaman kegemilangan para Khulafa ar-Rasyidin, dengan setiap Khilafah membawa kelebihan yang tersendiri.

 

Dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah 90 tahun dahulu, maka umat Islam seolah-olah terkapai-kapai tanpa pedoman dek kerana tiada lagi kuasa besar dunia yang dapat melindungi mereka. Namun, kita seolah-olah terlupa bahawa pemilik kekuasaan yang teragung ialah ALLAH swt. DIA telah berjanji bahawa Islam itu pasti menang, dan DIA tidak akan sekali-kali memungkiri janjiNYA.

 

Melihat kepada kejatuhan Khilafah, ramai yang pantas menuding jari kepada kelemahan pemerintahnya yang dilihat jauh dari ajaran Islam yang sebenar dan terus meratapi ujian  itu tanpa sedikit pun mengambil ibrah dari ujian yang amat hebat ini. Terlalu sedikit yang ingin menilik kembali diri, adakah sikap yang kita miliki sekarang ini melayakkan kita untuk membangkitkan kembali keizzahan Islam yang kian pudar.

 

Jika kita menilik kembali sejarah, kita dapat melihat pemimpin-pemimpin di zaman kejatuhan Khilafah ini telah dijangkiti sekularisme yakni memisahkan urusan dunia dan agama. Kita cuba lihat diri kita, adakah perkara seharian kita sekadar mengenai keduniaan semata-mata, tanpa diniatkan sebagai ibadah kepada ALLAH. Bukankah ibadah itu segala yang perkara yang dilakukan untuk mendapat redha ALLAH, selagi tidak bercanggah dengan syarak dan bermanfaat. Ayuh, jadikan setiap detik hidup kita diisi dengan ibadah kepadaNYA, agar DIA meredhai kita dan memilih kita untuk menegakkan agamaNYA. Agar kita tidak menjadi orang-orang yang dilenyapkan oleh ALLAH dari muka bumi ini dengan penuh kehinaan dan penyesalan.

 

Di saat kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah juga, umat Islam seolah-olah hilang ikatan persaudaraan sesama mereka. Firman ALLAH di dalam surah al-Hujurat dipandang sepi, sebaliknya mereka lebih sibuk mengangkat bangsa masing-masing atas nama nasionalisme. Seolah-olah bangsa mereka yang paling hebat dan layak memerintah dunia, sedangkan ALLAH telah menyatakan bahawa yang terbaik dalam kalangan manusia ialah mereka yang paling bertaqwa kepada ALLAH swt.

 

Budaya hedonisme yakni berhibur secara berlebihan juga membuatkan umat Islam kian lalai dari tanggungjawab mereka samada sebagai pemerintah mahupun rakyat untuk memakmurkan bumi ALLAH dengan ketaatan kepadanya. Umat Islam pada hari ini juga seolah-olah tiada beza. Setiap hari kita dihiasi dengan dendangan muzik-muzik dan deretan drama-filem yang tidak pernah habis. Kita berjaga dalam dunia fantasi, dan lena di dalam dunia realiti. Kesukaran saudara seaqidah di Chechen, Kashmir, Myanmar, Palestin, Syria dan Mesir dipandang sepi. Di sini, hijab para muslimah dianggap sekadar fesyen dan boleh dipakai buang sesuka hati, sedangkan saudari muslimah kita di Eropah terpaksa berjuang untuk terus berhijab meskipun berhadapan dengan pelbagai akta yang mengharamkan hijab, kononnya untuk menolak penindasan wanita.

 peta penguasaan Khilafah Uthmaniyyah

Apakah kita masih ingin lena dikelilingi tangisan ummah yang kian parah? Ingin sekadar berbangga dengan kejayaan umat Islam dahulu yang menguasai 2/3 dunia, kemudian meratapi kejatuhan umat Islam, lalu terus hanyut dalam dunia fantasi tanpa mengambil sedikit pun pengajaran daripada ujian yang ALLAH kirimkan kepada kita. Ingatlah, jika kita tidak ingin bangkit menegakkan syiar ALLAH di muka bumi, ALLAH akan menggantikan kita dengan hamba-hambaNYA yang tidak pernah lengah dari ketaatan kepadaNYA.

 

Firman ALLAH swt: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling dari agamanya (jadi murtad), maka ALLAH mendatangkan pula suatu kaum yang DIA kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepadaNYA, (kaum) yang bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang bersungguh-sungguh pada jalan ALLAH, dan mereka pula tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia ALLAH yang diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNYA, kerana ALLAH Maha Luas limpah kurniaNYA, lagi meliputi pengetahuanNYA.”

Al-Maidah : 54

 

Meskipun jalan menuju kemenangan itu diliputi duri, namun kebahagiaan yang berkekalan sudah menanti.

Sebaliknya, jalan menuju kemusnahan itu dihiasi dengan keseronokan sementara, diakhirnya azab yang tidak terperi sudah tersedia.

Maka pilihlah jalan yang pasti membawa keuntungan buat dirimu.

 

Wallahua’lam.

 

1960068_680275758683059_1931478153_n

392265_278674815522300_1968517628_n

# Tulisan ini tidaklah mencakupi seluruh faktor kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, sebaliknya sekadar menyentuh beberapa aspek sahaja. berdasarkan pengetahuan saya yang tidak seberapa. Saya memohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan dalam catatan ini, dan memohon agar diperbetulkan segala kesalahan.#

 

Nak tahu lebih lanjut? Cuba baca sini

0 comments:

Post a Comment

~Sharing is Caring~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Beli Buku Online! Mudah dan Murah!!